Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) yang ditubuhkan pada tahun 1989 merupakan sebuah forum ekonomi serantau yang terdiri daripada 21 ahli. Penubuhannya dipacu oleh peningkatan kesalingbergantungan ekonomi di rantau Asia-Pasifik, yang menjurus kepada cita-cita untuk meningkatkan perdagangan bebas dan pembangunan mampan di kalangan ahli-ahli.

Malaysia merupakan salah sebuah ahli asal APEC sewaktu penubuhannya pada tahun 1989, bersekali dengan 11 ahli akonomi lain iaitu Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat. China, Hong Kong dan Taipei menyertai APEC pada tahun 1991, disusuli dengan Mexico dan Papua New Guinea pada tahun 1993. Chile turut serta pada tahun 1994, manakala Peru, Rusia dan Viet Nam pula pada tahun 1998, menjadikan jumlah keahlian APEC sebanyak 21 ahli ekonomi.

Pada tahun 1998, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada APEC, dengan tema “Strengthening the Foundations for Growth”.

Manfaat Penganjuran APEC

Terdapat banyak kelebihan yang akan diperoleh oleh Malaysia sebagai tuan rumah APEC pada tahun 2020. Antaranya ialah di dalam bidang pembangunan kapasiti, yang mana Malaysia akan mendapat peluang untuk melatih lebih ramai pakar tempatan dalam pelbagai sektor kepakaran, berkongsi pengalaman dan saling bertukar ilmu pengetahuan. Ini akan membawa kepada keterangkuman, terutamanya dalam perdagangan.

Antara faedah lain menjadi penganjur kepada APEC pada tahun 2020 ialah peluang untuk menganjak perubahan penting dalam bidang polisi yang kritikal, seperti penyertaan ekonomi yang inklusif, perdagangan digital, pembangunan mampan dan kemakmuran saksama di kalangan penduduk serantau. Tambahan lagi, perniagaan-perniagaan tempatan, terutamanya golongan IKS akan meraih keuntungan melalui peluang-peluang perniagaan yang akan terbit daripada penganjuran APEC pada tahun 2020, seperti dalam bidang pengangkutan, hospitaliti, katering, pelancongan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Malaysia juga akan menjadi fokus media antarabangsa, yang diharap akan meletakkan Malaysia di mata dunia.

X