Pada tahun 2020, Malaysia akan memacu perbincangan untuk menambahbaik fokus sedia ada APEC yang kini lebih tertumpu kepada aspek menghasilkan keuntungan perniagaan melalui liberalisasi perdagangan dan pelaburan, kepada penambahbaikan dalam naratif perdagangan dan pelaburan. Pengenalan naratif baharu ini adalah bertujuan untuk menjadikan APEC sebuah forum kerjasama yang menggalakkan Kemakmuran Bersama atau ‘Shared Prosperity’. Pendekatan ini dijangka akan mewujudkan kerjasama yang seimbang dan adil di kalangan ekonomi APEC ke arah pembangunan yang lebih inklusif.

Konsep Kemakmuran Bersama ini adalah seiring dengan aspirasi global dan domestik Malaysia. Malaysia telah memperkenalkan konsep ‘Shared Prosperity’ semasa Sidang Kemuncak CEO APEC di Papua New Guinea pada tahun 2018. Malaysia menyarankan supaya ekonomi APEC mengamalkan kerjasama yang lebih ikhlas dan saksama bagi pembangunan yang lebih inklusif. Susulan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November 2018 telah mencadangkan supaya Malaysia mengusulkan matlamat ‘Shared Prosperity’ sebagai elemen utama agenda, bukan hanya untuk APEC 2020, tetapi juga bagi perancangan agenda baru APEC bagi menggantikan Bogor Goals yang akan berakhir pada tahun 2020.

Kemakmuran Bersama 2030 telah dilancarkan pada bulan September 2019 sebagai rangka kerja baru untuk mencarta arah ekonomi bagi Malaysia. Visi tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mencapai pembangunan mampan, seiring dengan perkongsian kekayaan yang adil dan saksama merentasi kumpulan pendapatan, kaum dan etnik, kawasan dan rantaian bekalan.

Visi yang sama akan turut menjadi prinsip panduan APEC apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2020, untuk mencapai bidang-bidang keutamaan yang ditentukan. 

X