Penganjuran Persidangan APEC 2020 oleh Malaysia pada tahun 2020 merupakan sebuah acara yang bersejarah dan sangat signifikan kerana ia bertepatan dengan visi Wawasan 2020 yang telah mensasarkan negara untuk mengecapi status negara maju menjelang tahun 2020. Walaupun YAB PM sendiri mengakui bahawa visi ini hanya boleh dicapai pada tahun 2025, prinsip-prinsip Wawasan 2020 untuk mengecapi kemakmuran ekonomi seiring dengan kesejahteraan sosial adalah bertepatan dan relevan kepada keadaan ekonomi dunia masa kini.

Tahun 2020 ini turut membawa pengertian yang signifikan kepada APEC kerana Bogor Goals yang telah dilancarkan pada tahun 1994 akan mencapai kematangannya. Bogor Goals ini merupakan aspirasi yang mensasarkan pencapaian perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka untuk rantau Asia-Pasifik menjelang 2020.

Dengan kesedaran mengenai keadaan sosio-ekonomi di rantau Asia-Pasifik, digabungkan dengan perubahan besar yang dibawa oleh ledakan teknologi digital, terdapat konsensus di kalangan ahli-ahli ekonomi APEC tentang keperluan mendesak untuk memfokus usaha kepada insan dan meluaskan peluang ekonomi merentasi segenap lapisan masyarakat. Oleh yang demikian, Malaysia akan menggandakan usaha untuk mendekatkan APEC kepada masyarakat untuk manfaat serantau. Bagi mencerminkan usaha Malaysia ke arah ini ini, APEC 2020 akan mengimbangkan usaha liberalisasi perdagangan dan pelaburan dengan penekanan terhadap keterangkuman bagi kemakmuran saksama di rantau Asia-Pasifik.

Sebagai tuan rumah yang baik, Malaysia akan bertindak sebagai pemudah cara dalam penganjuran APEC 2020 melalui perbincangan yang substantif serta mendapat persetujuan bersama ekonomi-ekonomi APEC.

X